Sunday 28 February 2010

Snow datang lagi

Ermm... dah lama hilang cerita snow. Ingatkan nak beralih ke musim spring dah. Tambah2 bila di tepi laluan pejalan kaki di perkarangan sekolah Izhan dah mula nampak tunas2 bunga yang semakin galak menjenguk dunia. Hati pun girang bukan kepalang sebab musim bunga adalah musim yang paling happening.. setiap kali keluar rumah, pandangan mata dihiasi dengan kuntuman2 segar pelbagai warna yang menyerikan alam ditambah dgn cuaca yang sgt nyaman.


Rupa-rupanya salah telahanku. Tanggal 21 Februari 2010, tatkala langsir jendela disingkap bila pagi menjengah, terkejut hati bukan kepalang. Sejauh pandangan mata, sejauh itulah hamparan salji putih bersih menyelimuti segenap ruang baik di jalan raya, bumbung dan laman rumah dan reranting pohonan juga sudah bertukar rupa sama sekali. Putih seputih2nya. Salji mula turun sejak awal subuh barangkali dan hingga jam 10 lebih pun masih lebat lagi menyebabkan semakin lama semakin tebal ia di dada bumi. Pantas kukejutkan anak2 dari pembaringan kerana sangat maklum dengan keterujaan mereka setiap kali salji turun. Penanda aras untuk bersuka2 bermain sledge dan membina snowman. Dengar saja snow turun semuanya melompat menuju tingkap dan bertelekulah kami empat beranak di birai jendela menyaksikan butir2 halus yang turun dr langit..asyik sungguh!
Kebetulan saja hari ni kami dijemput makan pagi di rumah Sue. Ibarat pucuk di cita ulam mendatang, sementelah pula tubuh masih lesu berbisa ekoran seharian menyiapkan bahan jualan di Green room semalam membuatkan aku mengarahkan anak2 supaya bersiap cepat. Kononnya lepas breakfast nanti boleh terus main sledge di bukit kecil belakang rumah. Mana tahu rupanya ada agenda yang lebih menarik yang dibincangkan oleh Fendi dan Kak Maziah bagi mengisi keseronokkan hari ini. Setelah selesai acara makan2 sambil menonton filem Avatar, kami berangkat ke Temple Newsam. Hanya aku dan Izhan yang tak pernah sampai ke sini. Nurin dan Nazrin dah pernah datang semasa mengikut Humaira bersledging lewat kedatangan salji yang lepas. Dari dalam kereta lagi aku dah mula memetik kamera kerana geram melihat pemandangan yang cantik di kiri kanan jalan. Bila sampai saja di lokasi, rasa terpaku sekejap. Salji memutih di atas padang bagaikan sebuah tasik beku yang sgt luas.. Aku sudah berkali2 melihat salji tetapi setiap kali aku masih merasakan keterujaan yang sama sebab setiap kali itulah berbeza bentuk pemandangan yang aku lihat. Terasa diri kecil sekecil-kecilnya. Alhamdullillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang aku menikmati pengalaman indah ini.
 
  
 

Maka bermain lah kami di situ sepuas-puasnya, menuruni cerun dengan pelbagai aksi 'stunt'. Wahh..terasa lapangnya fikiran sesekali dapat menjadi kanak2 semula. Izhan yang kecil pun bukan main berani bersledging dan setiap kali meluncur laju menuruni bukit, dia menjerit2 keriangan.  Barangkali mmg orang Melayu ini sangat pandai dalam mengekpresi emosi. Sepanjang hampir 2 jam di situ, hanya jeritan2 dari kumpulan kami saja yang kedengaran. Kenapa Mat Saleh2 ni senyap jer..? Ataukah mereka ni tak ada perasaan..?? hahaha..
Memandangkan jam 3 pasukan netball Leeds akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Brunei, maka kami beransur pulang pada jam 2. Anak2 pun dah kesejukan dan mula  merengek. Dah nama pun anak2... bila seronok tak boleh ditahan2 excited mereka tapi bila dah letih, pun tak boleh ditahan2 juga rengekannya.. aduhaiii...
Ini barangkali saja merupakan salji lebat terakhir bagi musim ini. Apapun, kami bersyukur teramat dgn pengalaman ini. Terima kasih Tuhan.

No comments:

Post a Comment