Tuesday 1 April 2014

Kembali Menulis (menaip?)

Salam

Terlalu lama masa berlalu tanpa apa-apa catitan. Terlalu banyak peristiwa telah berlaku. satu demi satu telah dilalui dengan pelbagai rasa dan cerita. Alhamdulillah, hari ini Allah masih memberi kesempatan untuk kembali meneruskan kesukaan lama ini..

Dalam sebulan dua ni, saya mula menulis. Ada beberapa artikel yang sudah disiarkan di akhbar tabloid, Warta Perdana. Terima kasih kepada sang sahabat sejati, Rohida Daud atas ruang dan peluang. Nah, ini salah satu coretan yang disiarkan.



Ibu masak sedaplah!

            Setiap tahun pada sambutan hari raya Aidilfitri  kedua, rumah kami akan di datangi oleh seluruh kaum keluarga  sebelah Mak kerana Mak adalah kakak yang sulung. Memang kecohlah suasana bila dah berkumpul beramai-ramai begitu. Pastinya kami akan bertungkus-lumus menyediakan juadah istimewa yang pelbagai jenis. Dalam ramai ramai sepupu, Syahmi agak keletah orangnya. Ada saja perkara yang nak dibebelkannya.

Syahmi: Mak Yong, (panggilan untuk Mak) kuih ni sapa buat? Sambil    tangannya ligat membuka penutup     balang tat nenas.
Mak:       Buat sendiri Mi.
Syahmi:  Emm..sedap! Bahulu ni sapa buat?
Mak:       Yang tu Mak Yong beli
Syahmi: Patutla tak sedap. (Tapi tangannya laju mengeluarkan 2-3 biji bahulu dari bekas)
Mak:       Kamu jangan mengada Mi. Mak Yong rasa sedap je.
Syahmi: Betul lah Mak Yong, tat tu sedap sebab buat sendiri. Dibuat dengan kasih sayang. Bahulu tu dia buat untuk jual. Mana datang kasih sayangnya. Sayangkan duit Mak Yong adalah!

Riuh kami ketawa mendengar ayat power Syahmi. Mak hanya gelengkan kepala. Aku? Terdiam seketika. Betul kata Syahmi. Makanan yang dibuat dengan kasih sayang memang nyata jauh lebih sedap.
            Cuba kita menyusur sedikit ke ruang kenangan tatkala usia masih terlalu muda. Masa zaman sekolah rendah dahulu, ada suatu ketika semua murid khususnya yang perempuan begitu tergila-gila dengan trend ‘buku biodata’. Semua budak perempuan ‘wajib memilikinya. Jika tidak akan dianggap ketinggalan zaman. Buku keramat ini akan diedarkan di kalangan kawan-kawan untuk dituliskan biodata masing-masing. Lazimnya, ayat akhir pastinya ‘kenang daku dalam doamu’ dan kemudian ditandatangan. Meleret-leret panjangnya, mengalahkan artis!
            Kalau masih ingat, pada ruangan makanan kegemaran, 99.9% akan tulis  -  ‘MASAKAN IBU’. Masa itu memang tidak terfikir bahawa ada masakan lain yang lebih sedap daripada apa yang ibu kita masak. Pendek kata, goreng telur mata kerbau pun sedap hingga menjilat jari. Pada aku, ada tiga kemungkinan mengapa keadaan ini sedemikian.
            Pertama, barangkali kita tidak pernah atau jarang-jarang sekali dibawa makan di restoran atau kedai makan. Apa yang ibu masak, itulah yang dihadap setiap hari. Maka pastinya masakan ibu yang paling sedap di dalam dunia kerana tiada perbandingan yang boleh dibuat. Jika adapun mungkin apabila Makcik Senah sebelah rumah bersedekah makanan semasa bulan puasa atau bila sesekali menghadiri kenduri-kendara, maka dapatlah makan yang lain sikit.
            Kedua, barangkali sememangnya ibu kita pandai memasak. Al-maklumlah, dahulu kebanyakan ibu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Mereka mampu menyediakan makanan yang sedap-sedap daripada sumber alam yang segar dan berkhasiat. Makanan segera belum lagi menjadi fenomena. Maka, jika bahan masakannya baik, pastilah hasil masakannya juga baik. Tambahan pula kebanyakan herba dan sayuran serta lauk-pauk ada di sekeliling rumah. Kebersihan pun terjamin.
            Ketiga, barangkali masakan ibu  itu tidaklah sehebat mana. Mana hebatnya kalau setakat sayur rebus dan sambal belacan. Tapi yang menjadikannya sedap adalah keberkatan air tangan ibu. Nah, inilah jawapannya, air tangan!
            Orang sekarang mana ambil peduli tentang perkara ini. Dari pemerhatian aku, bukan sedikit para ibu moden yang bergantung pada air tangan orang lain. Pagi, digorengkan sosej dan nugget untuk sarapan. Di sekolah anak-anak makan air tangan makcik kantin (yang entahkan bersih entahkan tidak). Balik sekolah pula, bagi ibu yang berkerjaya, mereka memilih untuk membeli makanan yang sudah di masak di kedai-kedai makan. Kadang-kadang air tangan mamak, kadang-kadang air tangan makcik Indon malah adakalanya air tangan nyonya. Malam, ibu letih setelah penat berkerja seharian. Paling mudah telefon saja khidmat penghantaran segera dengan pelbagai menu sedia untuk dipilih. Hari minggu rancangan asalnya bukan main baik nak memasak itu ini untuk santapan anak dan suami tetapi akhirnya sekeluarga diangkut ke kedai makan atau restoran sebab sekali harung dengan pergi berbelanja atau barangkali juga ibu diserang penyakit M, mahunya berehar-rehat saja di hujung minggu. Aduhai, kesian anak-anak zaman sekarang.
            Aku teringat akan satu petua yang diberi oleh arwah Atuk. Katanya, jangan malu menyuap anak-anak makan. Yang lebih baik kalau anak-anak (jika beranak  ramai) disuap bersama-sama. Katanya perkongsian bekas mulut yang digilir seorang demi seorang itu boleh menjadi ikatan merapatkan kasih sayang sesama sendiri. Itulah yang aku selalu buat. Anak ada 4. Dari yang kakak berumur 12 tahun sampailah si adik kecil yang baru mendapat kaki, semuanya duduk bersila kemas mengelilngi aku bila dipanggil makan. Nasinya penuh sepinggan (selalunya berpinggan-pinggan!). Lepas satu, satu mulut disuap. Kadang-kadang tercuit juga hati. Macam anak burung! Petua ini nyatanya menjadi. Alhamdulillah.
Aku percaya sangat-sangat, pada air tangan ibu ada hikmat. Di situ ada kasih sayang, ada rasa tanggungjawab, ada belas ehsan kepada anak-anak dan ada pengajarannya. Mana tidak, kadang-kadang makanan yang ibu sediakan itu sangat ringkas sifatnya tetapi kenapa menjadi igauan anak-anak. Semakin anak-anak dewasa, mereka akan semakin jauh dari ibu bapa. Bermula dengan asrama, kemudian universiti seterusnya berkerja, berkahwin dan berkeluarga sendiri, satu demi satu anak kita akan keluar dari rumah. Namun, dalam kejauhan itu masakan ibu tetap dikenang-kenang. Demikian, ibu mengikat rindu dalam hati dengan kasih yang tidak bertepi, melalui masakannya sendiri. Itukah kisah hubungan ibu dan anak yang begitu tinggi nilai kasihnya. Tanpa sempadan. Tanpa syarat.
Wahai para ibu, jika selama ini kita mengambil mudah perkara ini, barangkali sudah sampai masa untuk kita berubah. Jagalah perhubungan keluarga. Jagalah kasih sayang anak-anak dan suami. Masakan kita jambatanya. Pelihara juga punca rezeki agar yang masuk ke perut anak-anak hanya dari sumber yang halal. Allah telah berfirman;
“Wahai orang-orang beriman. Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”
(Al-Baqarah 2;172)
Jika air tangan sendiri pun kita kedekut untuk memberinya kepada keluarga yang kononnya sangat-sangat kita sayangi, maka jangan dipersalahkan anak jika mereka ingkar kata. Jangan dipersalahkan suami jika seleranya beralih. Jangan dipersalahkan sanak-saudara jika rumah kita jarang-jarang dijengah mereka. Hidup di dunia sifatnya sementara. Di sinilah kita mahu mencari bahagia, juga mencari berkat dan rahmat Allah. Air tangan ibu yang solehah hanya sebahagian kecil darinya.

p/s; Teringat kenangan di perantauan apabila anak  terjaga dari tidur dan mengejutkan aku. “Teringin nak makan laksa yang ibu buat” katanya. Aduhai, jam baru pukul 3 pagi anakku!

*copy paste TIDAK dibenarkan tanpa kebenaran penulis*

1 comment:

  1. Dear Ita...miss you and 'all of us'. It feel different or maybe it is a common thing...we met at one special point of our life...we get close..we move on ..walking through the path that made for us...then we start to feel the distance.

    ReplyDelete